Aktiviti-Aktiviti Yang Perlu Diadakan Untuk Merapatkan Hubungan Masyarakat
Yang Pelbagai Kaum Di Negara Kita
Dalam era
kontemporari ini, kita disajikan dengan menara-menara kaca milenium yang gah
dan gagah mencengkam langit tatkala ibu pertiwi kita begitu ghairah untuk
meluaskan horizon pembangunan dan melebarkan sayap perkembangan tanah air
sehingga mampu ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ dengan jaguh dunia yang
lain. Antara sedar atau tidak, pucuk pimpinan negara, Tun Dr Mahathir Mohamad
telah pernah menggagaskan Wawasan 2020 sebagai perisai ampuh untuk memahkotakan
kegemilangan tanah tumpah darah. Hubungan yang rapat dalam konteks kemajmukan
Malaysia ialah pemangkin untuk menghidupsuburkan semangat perpaduan yang
semakin runtuh rohnya dalam kotak minda masyarakat majmuk ketika melodi negara
maju jaya asyik didendangkan. Hakikatnya, semangat perpaduan telah pun menjadi
indikator yang komprehensif untuk mengisi kemerdekaan sejak pekikan Merdeka 63
tahun yang lalu. Malang dan sayang sekali, generasi pascamerdeka rata-ratanya
tidak menyedari hikmat di sebalik mutiara kata George Santayana, “ mereka yang
melupai sejarah pasti akan mengulanginya”. Dalam nada yang berbeza, tragedi 13
Mei 1969 haruslah sentiasa segar dalam kalbu seantero masyarakat supaya
masyarakat bertungkus lumus untuk mempertemukan semangat perpaduan melalui
hubungan yang rapat dan erat. Kita haruslah menghayati erti yang tersemat dalam
bait syair,
“aduh mengapa kita berbalah,
bersama diri berpecah-pecah,
kenyanglah yu bila jong pecah,
hitamlah tanda dalam sejarah”
supaya pisang tidak berbuah dua kali.
Sesungguhnya, semangat perpaduan dapat dihidupsuburkan melalui penglibatan
komuniti dalam kegiatan-kegiatan kemasyarakatan untuk mengeratkan hubungan
sesama mereka kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Kata-kata
pujangga“hidup tanpa cita-cita ibarat pepohon yang tidak berputik” haruslah
dijadikan suntikan semangat untuk membina hubunagn yang erat dalam masyarakat majmuk.
Sudah sampailah masanya kita celik daripada
fantasi yang berpanjangan dengan merapatkan hubungan masyarakat majmuk
melalui pelbagai aktiviti supaya gagasan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 terus
bernadi kuat.
Sebagai manusia
yang bernaluri, kita tidak wajar menanti kejatuhan lampu ajaib Aladdin,
sebaliknya haruslah berpegang pada aforisme “genggam bara api, biarlah sampai
jadi arang” supaya usaha yang dicurahkan tidak menjadi sia-sia ibarat
‘membandarkan air ke bukit’. Bertitik tolak daripada manifestasi ini, aktiviti
gotong-royong merupakan landasan yang bernas untuk merapatkan hubungan dalam
kalangan masyarakat. Sebenarnya, aktiviti gotong-royong merupakan kepujangaan
dan fitrah harakat nenek moyang dalam mengukir perahu hidup yang sasa lagi
tegap. Atas pegangan inilah, kita perlu mengasimilasikan amalan yang begitu
syumul dan behena daripada jejak hidup nenek moyang sesuai dengan pepatah “
buang yang keruh, ambil yang jernih”. Umpamanya, kita dapat turun padang berjinak-jinak
dalam aktiviti gotong-royong untuk membersihkan kawasan persekitaran. Selain
dapat menyokong kempen ‘Jom Ganyang Aedes’ yang dilancarkan oleh pihak
kerajaan, kita dapat membasmi vektor penyakit terutamanya nyamuk Aedes yang
merupakan pembawa angkara penyakit Deman Denggi dan Zika. Sehaluan dengan itu,
penghuni sesuatu kawasan perumahan dapat bantu-membantu dan bekerjasama untuk
menjamin kebersihan kawasan kediaman tanpa mengira perbezaan dari segi kaum.
Sedarkah kita bahawa“kebersihan ialah sebahagian daripada iman”. Kita haruslah
menitikberatkan kebersihan persekitaran selaras dengan cogan kata “Negara
Bersih, Rakyat Sihat”. Hubungan mesra dalam masyarakat majmuk pasti akan
terjalin ‘bagai isi dengan kuku’ kerana mereka dapat berkenal-kenalan dan
berkongsi pelbagai asam garam sepanjang aktiviti gotong-royong. Perkenalan
antara jiran pasti menjanjikan seribu satu faedah kerana jiran sepakat membawa
berkat. Lafazan Shahrir “cita-cita bererti juga kerelaan bekerja untuk
kepentingan orang lain” mewajarkan komuniti serik terhadap kemaslahatan
aktiviti gotong-royong untuk menjalinkan hubungan rapat sesama kaum. Intihanya,
canda gurau dan sembang santai ketika melibatkan diri dalam aktiviti
gotong-royong mewujudkan kemesraan dan mengeratkan keakraban dalam kehidupan.
Pujangga
dahulukala pernah berlafaz “dapatkanlah lima perkara sebelum anda kehilangan lima perkara,
“Masa muda sebelum tua,
Masa sihat sebelum sakit,
Masa lapang sebelum sibuk,
Masa senang sebelum susah,
Masa hidup sebelum mati”.
Ertinya, kita perlulah menghargai
detik-detik kehidupan yang dikurniakan Tuhan sebelum menyesal pada kemudian
hari kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak gunanya. Bicarawara
yang seterusnya, aktiviti riadah ialah batu loncatan untuk merapatkan hubungan
sesama masyarakat. Persepsi ini terjelma kerana aktiviti riadah yang dijalankan
secara beramai-ramai akan menjadi serampang dua mata, iaitu merapatkan ikatan
setia kawan dan menjanakan kesihatan. Dalam fragmen ini, pucuk kepimpinan
negara yang unggul telah mengimplemantasikan Hari Sukan Negara sebagai platform
primer dalam usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat jelata. Jika kita fokuskan
lensa perbincangan dalam skop yang lebih holistik, aktiviti riadah merupakan
mukjizat yang mujarab dan mustajab untuk melegakan tekanan jiwa. Sekiranya ditinjau
dalam dimensi yang berbeza, hubungan sesama masyarakat majmuk dapat
dilestarikan kerana mereka dapat berbincang tentang seribu satu insiden yang
berlaku dalam rutin harian semasa beriadah. Aktiviti berjoging pada hujung
minggu, contohnya membuka ruang kepada masyarakat untuk bertanya-tanya khabar
dan beramah mesra.Lebih istimewa, tip-tip penjagaan kesihatan boleh dikongsi
sesama berjoging. Masyarkat pasti akan memahkotai hati dengan kegirangan dan
kesyukuran terhadap perkongsian pintar yang terjalin. Dengan ini, masyarakat
pasti cakna tentang konsepsi “badan sihat, otak cerdas” kerana aktiviti
bersenam membentuk tubuh badan yang sihat sekali gus menceriakan minda. Nukilan
Abraham Lincoln “orang akan hidup bahagia jika dia mahukan kebahagiaan” haruslah
menjadi pegangan komuniti untuk berjinak-jinak dalam aktiviti beriadah.
Tuntasnya, aktiviti riadah ialah wadah unuk merapatkan hubungan sesama anggota
masyarakat yang berbilang kaum.
“Kalau asal
benih yang bernas, jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi
kejora dan jatuh ke bumi menjadi penawar”. Demikianlah nukilan yang
memanifestasikan peri pentingnya aktiviti rukun tetangga di kawasan kediaman
dalam usaha pemupukan hubungan erat ibarat ‘aur dengan tebing’. Berpegang pada
prinsip yang kita sepakati, Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri
daripada variasi kaum seperti kaum Melayu, Cina, India, dan sebagainya.
Kepelbagaian budaya dan cara hidup inilah yang menjelma menjadi mercu tanda
kepada para pelancong asing dalam peta pelancongan Malaysia. Dalam konteks ini,
kita wajarlah hidup dengan berbaik-baik di bawah bumbung muafakat persis
peribahasa Melayu “bersekutu bertambah mutu” supaya nama baik Malaysia terus
terserlah di persada dunia. Lanjutan daripada huraian yang terbentang, rukun
tetangga yang dibentuk haruslah dianggotai olah penduduk yang pelbagai kaum
untuk menjaga keselamatan kawasan kediaman. Kita akur bahawa jiran sepakat
membawa berkat. Sesuatu kerja yang berat pasti dapat diringankan melalui
kerjasama jiran memandangkan peribahasa Melayu ada menyebut ‘bulat air kerana
pembetung, bulat manusia kerana muafakat’. Selaras dengan pepatah “berat sama
dipikul,ringan sama dijinjing”, kita dapat bersama-sama menggembleng tenaga
dengan bergilir-gilir untuk menjaga dan meronda kawasan kediaman pada setiap
malam agar kehidupan penduduk tidak menjadi ibarat ‘telur di hujung tanduk’
kerana kadar jenayah dapat disifarkan. Sesungguhnya, masa bukan sahaja unuk
mengejar kekayaan materialistik, sebaliknya patutlah disalurkan untuk melibatkan
diri dalam aktiviti kemasyarakatan,khususnya rukun tetangga. Sebaliknya,kita
tidak wajar mengharapkan hati budi jiran yang luhur sekiranya kita tidak turun
padang sehilir semudik dan sehati sejiwa untuk merealisasikan kehidupan bahagia
melalui hubungan yang erat antara jiran. Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah
Badawi pernah berucap “Bekerjalah bersama-sama dengan saya, bukan bekerja untuk
saya, kita bangunkan tanah air menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang”.
Ucapan ini cukup ringkas tetapi berisikan makna yang mendalam, iaitu mewajibkan
kita sederap menjulang Jalur Gemilang. Pendek kata, aktiviti rukun tetangga
membuka episod terkini untuk mewujudkan hubungan mawaddah masyarakat majmuk
kerana mereka terdorong untuk saling bekerjasama demi kehidupan yang selamat
dan sejahtera.
Mutiara kata Alex
Osborn yang berbunyi “Lampu Aladdin tidak akan bersinar sendiri tetapi
Aladdinlah yang menggosoknya terlebih dahulu” sememangnya berpijak di bumi
nyata kerana curahan usaha hanya akan membuahkan hasil yang semanis madu
sekiranya kerja yang bersulamkan semangat ‘habis kapak berganti beliung’
diadunkan kerana yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang
melayang. Memetik wasilat nirmala yang seterusnya, aktiviti kunjung-mengunjungi
pada hari perayaan ialah tranformasi usaha untuk mengeratkan hubungan sesama
anggota masyarakat. Memang tidak dapat dinafikan bahawa semua agama mengajar
penganutnya supaya saling menghormati dan hidup berbaik-baik dengan setiap
insan di muka bumi. Seseorang yang mempunyai keimanan pasti akan menjadikan
polarisasi kaum sebagai sempadan kerana mereka percaya hikmat di sebalik
pesanan azimat “agama tidak melarang melakukan sesuatu jika tindakan itu tidak
mendatangkan kebahagiaan hidup”. Misalnya, masyarakat boleh mengunjungi jiran tetangga
dan saudara-mara ketika rumah terbuka hari raya. Dengan ini, tuan rumah cerat
akan mengorak kelopak kegembiraan di taman hati kerana kunjungan tetamu
kehormat. Sempena Hari Raya Aidilfitri, Kempen “Jom Kacau Dodol” yang
bertemakan gotong-royong rakyat Malaysia telah dilancarkan di Bandaraya
Bersejarah Meleka. Jika dihalusi dengan lebih terperinci, kehadiran kita sudah
pasti akan disambut dengan tangan terbuka. Selain dapat merasai kemeriahan hari
perayaan, persefahaman yang erat pasti dapat dibentuk dalam kalangan komuniti.
Situasi ini amat sinonim dengan peribahasa ‘sambil berdiang, nasi masak’.
Lebih-lebih lagi, kita dapat berkocak-kocak dalam suasana yang riang dan girang
semasa sesuatu hari perayaan di samping duduk berdempang-dempang dengan rakan taulan
sambil merasai keenakan juadah dan makanan tradisional yang dihidangkan.
Sebagai implikasi, aktiviti kunjung-mengunjungi pada hari perayaan membolehkan
kemesraan dijanakan tanpa prasangka dan keakraban dibina tanpa curiga. Tanpa
curiga dan prasangka, barulah hubungan yang baik antara kaum dapat terjana. Lao
Tze dalam mukadimahnya pernah berlafaz “perjalanan seribu batu bermula dengan
langkah pertama jua”. Konklusinya, kita patutlah menghidupsuburkan amalan
kunjung-mengunjungi semasa musim perayaan untuk membina hubungan ukhuwah yang
erat.
Dalam setiap
langkah, azam kita hanyalah satu, iaitu tidak akan membenarkan hubungan erat
masyarakat yang terbina sejak berdekad-dekad hanyut dalam arus pemodenan. Perlu
diingatkan bahawa pembinaan negara bangsa yang sejahtera dan harmoni bukanlah
proses yang mudah kerana terpahat padanya cabaran berliku-liku tetapi tidak
mustahillah untuk direalisasikan kerana segala-galanya bertitik tolak daripada
pengorbanan dan keikhlasan hati. Justifikasinya, sikap sambalewa dan semberono
ibarat virus yang akan meruntuhkan ikatan muhibah lalu menggoyahkan kewibawaan
tanah air. Tidak hairanlah tragedi seperti jatuhnya empayar Kesultanan Meleka
terus menjelma sekiranya hubungan masyarakat dibiarkan renggang. Dengan mata yang
celik, telinga yang tajam, hati yang jernih, kita perlu memikirkan secara
mendalam untuk mencari formula penyelesaian yang terbaik bagi membentuk
hubungan yang erat dalam kalangan masyarakat supaya visi kudsi Wawasan 2030
bukanlah angan-angan Mat Jenin. Hal ini dinyatakan dalam bidalan yang berbunyi
, ‘buruk dibuang dengan rundingan, baik ditarik dengan muafakat’. Sudah terang
lagi bersuluh, kita tidak boleh tenggelam dalam sikap apati dan keakuan diri
persis peribahasa “bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”.
Sebaliknya, kita haruslah mempunyai aspirasi yang serupa, melangkah ke
destinasi yang sehala dan sentiasa gah dan megah untuk menjulang panji-panji
perjuangan tanah air sederap demi keharmonian hidup bermasyarakat. Ingatlah,
“jika tujuan anda jelas, anda boleh mencapai kecemerlangan dengan jayanya”.
Melainkan dengan komitmen yang pukal, kita berusaha untuk membina hubungan yang
erat sesama masyarakat majmuk, dengan izin Tuhan, tiada alasan kita tidak akan
dapat memasuki gerbang kejayaan.
No comments:
Post a Comment