Friday, 21 November 2025

Ambang SPM 2025 Jalur Gemilang

 

Hormatilah Jalur Gemilang

oleh:  Anak Harimau


  Dendangan melodi negara maju jaya sering kali disajikan ketika kita mengibarkan Jalur Gemilang di puncak jagatraya. Sudah terang lagi bersuluh bahawa Jalur Gemilang menjadi ikon kebanggaan negara yang dapat menunjukkan identiti rakyat Malaysia. Setelah negara kita menikmati kemerdekaan selama 68 tahun,Jalur Gemilang tidak lagi diberikan keutamaan.Memandangkan isu pengabaian Jalur Gemilang menjadi-jadi,adunan usaha amat dialu-alukan  supaya rakyat dapat menghormati ikon kedaulatan negara kita.  Persoalannya, apakah cara-cara untuk menghormati Jalur Gemilang?

 

      Antara sedar atau tidak, kurangnya pengetahuan tentang Jalur Gemilang menjadi faktor utama pengabaian terhadap bendera kebangsaan negara kita. Atas kesedaran inilah, pendedahan pengetahuan tentang bentuk dan sejarah Jalur Gemilang menandakan permulaan yang positif untuk menghormati ikon kebanggaan negara. Dalam konteks ini, perkongsian maklumat tentang reka bentuk Jalur Gemilang melalui proses pengajaran dan pembelajaran amat penting untuk melahirkan rakyat yang bersikap hormat terhadap simbol kemerdekaan negara kita. Sebagai contohnya, 14 jalur merah dan putih dalam Jalur Gemilang menandakan keanggotaan 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan. Kesannya, rakyat nescaya dapat mengenali dan menyelami kemegahan bendera kebangsaan negara kita. Dari jendela yang lain, pendedahan tentang asal usul Jalur Gemilang kepada rakyat Malaysia menjadi formula afdal untuk menyemaikan benih kesedaran dalam jiwa mereka supaya menghormati ikon kebanggaan ini. Misalnya, Tun  Mahathir Mohamad mengumumkan nama bendera Malaysia sebagai Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan tahun 1997. Tidak hairanlah kalau langkah ini bukan sahaja dapat menanamkan semangat patriotik tetapi juga dapat melahirkan rakyat yang menghormati Jalur Gemilang.  Jelaslah bahawa pengetahuan tentang ikon kedaulatan negara menjadi wadah ampuh supaya aspirasi nasional tidak menjadi angan-angan Mat Jenin.   

    Tuntasnya,dengan keizinan Tuhan, kita mampu menyemaikan semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia. Barangkali lagu patriotik“Jalur Gemilang”

                            “ Jalur Gemilang, megah kami terasa,

                             Jalur Gemilang, kibarkanlah wawasan,

                             Merah putih, biru kuning,

                             Jalur semangat kami semua ”

menjadi kayu pengukur untuk mengetuk pintu keharmonian negara. Berpayungkan semangat “patah sayap,tongkat paruh, rakyat Malaysia seyogianya seia sekata sehati sejiwa untuk menghomati Jalur Gemilang supaya ikon kebanggaan kita terus megah berkibaran.Ayuh, rakyat Malaysia, hormatilah Jalur Gemilang supaya negara terus cemerlang, gemilang dan terbilang!