Ketika kita seronok menyelami nikmat kemerdekaan, ketika kita rancak membangunkan tanah air, negara kita mulai menempa nama di persada antarabangsa. Namun begitu, terdapat lakaran suram yang membayangi kemajuan negara. Sesetengah remaja masih bersikap acuh tak acuh terhadap obligasi yang terpikul dalam mengisi kemerdekaan. Kita cakna, generasi muda ialah tiang seri negara bak kata pepatah, "pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara."Persoalannya, apakah peranan-peranan generasi muda terhadap nusa dan bangsa?
Bukankah remaja ialah tonggak pembangunan negara? Oleh itu, remaja sewajarnya berani merentasi segala cabaran yang dihadapi untuk merealisasikan segala cita yang bermimpi. Dalam konteks ini, generasi muda bertanggungjawab untuk meningkatkan ilmu dan skil agar dapat berkhidmat untuk nusa tercinta. Sehubungan dengan ini, amalan membaca sepatutnya dibudayakan dalam kalangan remaja supaya dada berisi ilmu pengetahuan. Melalui amalan membaca dan sikap mencintai ilmu, mereka mampu mempersiapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran, contohnya kemahiran kecerdasan buatan. Sekiranya remaja sentiasa menerapkan amalan mulia ini dalam kehidupan, sudah pastilah mereka tidak akan tersasar daripada hala tuju hidup. Impaknya, golongan sahmura mampu memperkukuh daya saingan sendiri sekali gus membawa Malaysia selangkah ke hadapan. Biarlah pepohon terus menghijau, biarlah menteri terus bersinar, biarlah Malaysia terus cemerlang, gemilang, dan terbilang.
Kita sedia maklum bahawa tragedi 13Mei yang berlaku pada tahun 1969 merupakan titik hitam yang tidak dapat dihitamkan. Atas kesedaran inilah, golongan belia seyogianya sedar bahawa di bahu merekalah terpikulnya satu tanggungjawab untuk memupuk semangat perpaduan dengan bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan. Sealiran dengan ini, aktiviti gotong-royong merupakan elemen yang bernilai tambah untuk mewujudkan persepakatan dalam kalangan belia. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong, mereka akan bekerjasama untuk mempermudah sesuatu kerja yang rumit dan menyiapkan kerja dalam masa yang singkat. Rentetan itu, golongan belia yang berbilang kaum turut akan bergurau senda ketika menjalankan aktiviti gotong-royong. Tidak hairanlah kalau hubungan antara mereka akan dapat dieratkan. Bertitik tolak daripada manifestasi ini, persefahaman dan integrasi nasional turut pasti akan diwujudkan dalam kalangan remaja. Kesannya, rakyat Malaysia akan hidup sejahtera.
Antara sedar atau tidak, pakaian tradisional menadikan kemakmuran negara. Dalam konteks ini, remaja berperanan penting untuk menjaga kelestarian dan adat resam dengan memperkenalkan pakaian tradisional. Hal ini dikatakan demikian kerana pakaian tradisional ialah warisan khazanah nenek moyang yang tidak ternilaikan harganya. Dengan ini, remaja digalakkan supaya dapat memakai pakaian tradisional bersempena dengan sambutan hari perayaan untuk menonjolkan identiti berbilang kaum. Biar kita ambil contoh, mereka boleh memakai baju kurung atau baju Melayu ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri. Tindakan ini amat penting supaya remaja akan dapat berpeluang untuk menjamah kehalusan pakaian tradisional di samping mengenali pelbagai pakaian tradisional. Pendek kata, hikmat di sebalik peribahasa Melayu "tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan" memberikan iktibar kepada remaja untuk sederap bersinergi mempertahankan pakaian tradisional agar budaya ini terus gah merentasi zaman.
Sudah terang lagi bersuluhlah bahawa kita masih jauh daripada menyentuh garis penamat dalam memajukan negara. Namun masih ada sinaran di hujung terowong jika generasi muda insaf daripada lena yang berpanjangan untuk membangunkan tanah air. Renungilah PESANAN azimat Sukarno, "Gantunglah cita-citamu setinggi langit, bermimpilah setinggi langit." Ayuh, remaja, bangkitlah, matahari belum lagi rembang, dan burung-burung belum lagi menjamah awan!